Followers

Friday 1 April 2011

DAP, PKR tukar kerusi Padungan, Batu Lintang

Dalam satu perkembangan mengejutkan, DAP dan PKR bersetuju untuk bertukar dua kerusi DUN yang dimenangi dalam pilihan raya negeri 2006.PKR dalam satu pengumuman lewat malam ini menyatakan bahawa parti itu akan menyerahkan kerusi Padungan kepada DAP manakala DAP pula akan menyerahkan kerusi Batu Lintang kepada PKR.

Kerusi Padungan sebelum ini dimenangi PKR (Dominique Ng) manakala kerusi Batu Lintang dimenangi DAP (Voon Li Shan) dalam pilihan raya Sarawak pada 2006.

Perkembangan ini mungkin akan menyebabkan kedua-dua wakil rakyat berkenaan tidak akan diturunkan semula untuk bertanding di mana-mana kerusi dalam pilihan raya negeri 16 April.

Kedua-duanya dianggap 'duri dalam daging' dalam parti masing-masing.

Pengumuman itu dibuat dalam satu sidang akhbar yang dihadiri pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng, ketua PKR Sabah Baru Bian dan pesuruhjaya PAS negeri, Adam Ahid.

Pertukaran kerusi tersebut merupakan satu kejutan besar kerana Padungan adalah kerusi pertama dan satu-satunya kerusi yang diwakili PKR di Malaysia Timur.

azlanTambahan pula, Ng yang merupakan bekas pemimpin DAP yang tidak sehaluan dengan parti itu pada 1990-an, mempunyai pengaruh kuat di Padungan.

Langkah itu berpotensi membawa risiko kepada DAP kerana Ng juga mempunyai sejarah bertanding sebagai calon Bebas dalam pertarungan tiga penjuru.

Voon, sebaliknya, dipercayai menjadi duri dalam daging kepada kepimpinan DAP sekarang.

Beberapa pihaknya melihat langkah tersebut sebagai usaha DAP dan PKR untuk menyekat kerjaya politik Ng dan Voon.

Ketika dihubungi oleh Malaysiakini melalui pesanan teks, Ng berkata: "Saya merasa dikhianati."

Voon, ketika dihubungi berkata: "Saya tak tahu apa-apa. Saya sedang menonton perlawanan bolasepak."

Ditanya sama ada beliau akan bertanding dalam pilihan raya negeri pada 16 April ini walaupun tidak dicalonkan oleh partinya, beliau berkata: "Anda sepatutnya tanya kepada pemimpin apa mereka nak buat dengan saya."

Ditanya sama ada beliau akan menimbang bertanding sebagai calon Bebas, Voon berkata: "Pada masa ini saya tak tahu apa-apa... biarlah mereka putuskan. Biarlah ia begitu.

"Saya tidak penting, rakyat lebih penting. Rakyat dan negara lebih penting daripada parti. Biarlah rakyat buat keputusan, kerana mereka akan tahu apa yang patut dibuat."

Tiga pemimpin Pakatan Sarawak itu juga mengesahkan PKR akan bertanding di sekurang-kurangnya 24 kerusi manakala DAP dan PAS masing-masing akan bertanding 15 dan lima kerusi.

Rundingan antara PKR dengan Parti Nasional Sarawak (SNAP) masih berterusan.

Senarai penuh calon Pakatan belum dipastikan.