Followers

Tuesday 15 November 2011

Pengesanan Awal Barah Payudara Menyelamatkan Nyawa



Sejauh manakah keintiman anda dengan mahkota kewanitaan anda, payudara? Andai ditanya bilakah kali terakhir anda melakukan pemeriksaan sendiri payudara (BSE - breast self examination), agaknya, apakah jawapan anda? Lupa kerana sudah lama tidak melakukannya atau sememangnya anda tidak pernah ambil peduli?

Kajian mendapati, 2 daripada 3 wanita Malaysia tidak melakukan BSE walaupun menyedari kanser payudara adalah pembunuh nombor satu wanita. Antara alasan popular yang seringkali disuarakan adalah kurang yakin, tidak tahu apa perlu dicari, takut menemui sesuatu tidak normal dan tidak kurang juga yang kurang selesa menyentuh payudara sendiri.

Menurut Daftar Kanser Kebangsaan Malaysia, satu daripada 19 wanita tempatan mempunyai kebarangkalian menghidap kanser payudara. Ia paling biasa menyerang kaum Cina (1:14 wanita) diikuti India (1:15) dan Melayu (1:24). Sekalipun nisbah wanita Melayu yang paling kecil, ironinya, sering kali mereka adalah yang paling lambat didiagnosis. Antara 40 hingga 60 peratus pesakit yang datang berjumpa doktor telahpun melewati tahap 3 atau 4, di mana tidak banyak boleh dilakukan. Semakin lewat kanser dikesan, semakin tipis peluang pesakit untuk sembuh.

Pentingnya BSE

Apa yang ingin ditekankan di sini adalah tentang konsep kesedaran payudara iaitu bagaimana untuk menjadi akrab dan mesra dengan keadaan serta kesihatan payudara sendiri. BSE memberikan sumbangan besar dalam membantu wanita menjalinkan hubungan rapat ini supaya mereka mengenali rupa bentuk dan rasa payudara apabila disentuh. Permulaan BSE sendiri setiap bulan pada peringkat awalnya bukan hanya bertujuan mencari ketulan tetapi lebih utama untuk mengenal bentuk, saiz serta tekstur normalnya.

Mengetahui apa yang normal (dan tidak normal) pada payudara anda umpama menekan suis antara kematian dan kehidupan. Jika anda kenal dan arif dengannya, bukan satu masalah bagi anda untuk mengesan sebarang perbezaan yang tidak ketara, tetapi mungkin serius. Perubahan-perubahan yang berlaku mungkin boleh dilihat dengan mata kasar atau mungkin hanya jelas selepas beberapa bulan. Ia mungkin satu tanda awal kepada sesuatu yang lain di bawah permukaan payudara.

Sekiranya anda telah biasa dengan rupa bentuk dan rasa sentuhan payudara sendiri, secara automatik mudah untuk mengetahui jika ada sesuatu yang tidak kena. Tanpa memori sentuhan daripada BSE berterusan setiap bulan, anda mungkin tidak akan perasan akan perbezaan kecil di peringkat awal. Sebarang perubahan hendaklah dibawa kepada perhatian doktor dengan segera.

Tanda-tanda yang perlu anda perhatikan :

- benjolan di payudara atau ketiak
- perubahan luarbiasa tekstur, bentuk dan saiz payudara
- kulit payudara bengkak, berkedut dan ke dalam
- puting susu tenggelam
- pendarahan atau lelehan luarbiasa dari puting
- kulit payudara berbintik seperti kulit limau

Usah takut dan panik sekiranya anda terjumpa ketulan kerana 9 daripada 10 benjolan yang ditemui tidak semestinya kanser. Sesetengah wanita berkecenderungan secara genetiknya untuk mewarisi benjolan pada payudara. Walau bagaimanapun, anda perlu berwaspada terhadap semua gumpalan dalam payudara kerana kemungkinan kanser tetap ada dan hanya doktor yang boleh mengesahkannya.

Harus diingat bahawa BSE tidak boleh menggantikan pemeriksaan payudara klinikal tahunan (apabila mencecah usia 30-an) dan penyaringan mamogram berkala (apabila mencapai umur 40-an), bergantung kepada individu dan sejarah keluarga. Walaupun pemeriksaan fizikal oleh doktor mahupun mamografi dapat memastikan kesihatan payudara anda, BSE tetap penting bagi mengesan perubahan awal sebelum pemeriksaan doktor yang berikutnya.

Anda sepatutnya memeriksa payudara sendiri sekali setiap bulan, dalam tempoh 3 hari selepas haid berakhir ataupun 7 hingga 10 hari selepas bermulanya haid, iaitu tempoh payudara paling kurang bengkak dan sakit. Jika anda telah menopaus, kedatangan haid tidak tetap atau telah menjalani pembedahan histerektomi (membuang rahim), periksalah payudara anda seelok-eloknya pada hari yang sama setiap bulan. Golongan lelaki juga tidak terkecuali kerana mereka juga berisiko menghidap kanser payudara.

[Sumber]

No comments:

Post a Comment