Followers

Tuesday 22 November 2011

WASPADA 'MUSLIHAT' SYRIA


DI ATAS KERTAS, tidak banyak rahsia yang boleh 'dikorek' skuad bawah 21 tahun (B-21) kebangsaan mengenai kekuatan Syria pada aksi kedua Kumpulan C kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

Selain kontroversi yang membabitkan bekas jurulatih pasukan itu, Rui Almeida yang dilaporkan enggan menyambung kontrak gara-gara perselisihan faham dengan Persatuan Bola Sepak Syria sebelum ini, ranking pasukan itu juga sebenarnya jauh lebih baik daripada negara kita

Meskipun Syria menduduki tangga ke-106 manakala skuad negara di tangga ke-151, ia juga tidak boleh dijadikan ukuran kerana ranking FIFA hanya membabitkan pasukan kebangsaan.

Kali terakhir kedua-dua pasukan senior bertemu ialah pada Disember dua tahun lepas menerusi satu aksi persahabatan di stadium yang sama apabila skuad kendalian Datuk K. Rajagobal menang besar 4-1.

Apa yang pasti, anak buah Ong Kim Swee harus melupakan faktor keletihan bagi mempamerkan aksi sebenar meskipun terpaksa bergegas pulang ke tanah air dengan menaiki kapal terbang khas sebaik tamat final Sukan SEA 2011 menentang Indonesia di Jakarta malam tadi.

Kekalahan 0-2 di Stadium Tosu, Jepun hasil jaringan Keigo Higashi dan Yamazaki Ryohei pada aksi pembuka tirai kumpulan, September lepas sudah tentu masih segar dalam ingatan peminat fanatik bola sepak tempatan yang pastinya mahu Harimau Muda kembali 'mengaum' di gelanggang sendiri malam esok.

'Misteri' sejauh mana keupayaan Syria juga masih menimbulkan teka-teki lantaran jurulatih baharunya, Imad Khankan dilihat kekal berahsia mengenai persiapan pasukan itu apabila mengakui mereka tidak berada di prestasi terbaik gara-gara dihantui masalah kecederaan pemain.

"Sejujurnya, kami telah 'mengintai' kekuatan pasukan Malaysia ketika mereka menentang Jepun sebelum ini dan kami menganggap perlawanan ini amat penting buat kami.

"Walaupun persiapan pasukan dilihat sedikit terjejas kerana dihantui kecederaan beberapa pemain utama, saya sentiasa percaya dengan kemampuan pemain saya di tengah padang," kata Khankan ketika ditemubual agensi berita tempatan Syria, Syrian Soccer.com.

Syria kini mengungguli Kumpulan C di depan Jepun hasil perbezaan jaringan apabila menewaskan satu lagi gergasi Asia Timur, Bahrain 3-1 dalam aksi pembukaan sebelum ini. Bahrain akan melayan kunjungan Jepun dalam satu lagi aksi kumpulan esok.

Aksi Kumpulan A pula dibarisi satu lagi gergasi Asia, Korea Selatan bersama Qatar, Arab Saudi dan Oman manakala Australia, Iraq, Uzbekistan dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pula membuat perhitungan bagi aksi Kumpulan B.

Juara setiap kumpulan akan menempah slot automatik pada Sukan Olimpik 2012 di London manakala satu lagi tempat akan ditentukan menerusi perlawanan playoff menentang wakil dari Afrika.

Apa yang pasti, kelibat tonggak penyerang Syria, Mardek Mardkian yang berjaya meledak dua gol ketika bertemu Bahrain sebelum ini wajar dirantai habis-habisan oleh benteng pertahanan negara.

Kredibiliti perancang Syria, Mohammed Fares yang berjaya membantu kelabnya, Al Ittihad muncul juara Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tahun lepas juga tidak boleh dibiarkan bermaharajalela sebegitu sahaja jika pasukan negara berhasrat untuk menghidupkan semula sisa-sisa peluang mara ke London tahun depan.

Selepas Syria, Malaysia akan membuat perhitungan dengan Bahrain, juga di Stadium Nasional Bukit Jalil empat hari kemudian.

Sumber: Kosmo

No comments:

Post a Comment